isu murtad Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk dicari suatu formula yang disepakati mengenai hukum syarak dan tatacara mengenai murtad atau permohonan keluar dari agama Islam di Malaysia.Usaha ke arah itu, tegas presidennya, Yusri Mohamad, menuntut suatu proses “ijtihad kolektif” yang melibatkan ahli-ahli fatwa dan pakar-pakar perundangan dalam bidang yang terbabit. “Adalah wajar pandangan semua pihak yang berkaitan dan berminat, termasuk yang bukan Islam, turut didengari dan diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.”Akhirnya, memandangkan ini adalah isu hukum-hakam, (maka) para ahli fatwalah yang akan merumuskan keputusan terakhir dan cadangan peruntukan undang-undang yang sesuai,” tambahnya

Yusri berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dalam kes Siti Fatimah Tan Abdullah adalah sangat penting serta perlu disoroti dengan saksama dari pelbagai sudut agar sikap yang setepatnya dapat diambil terhadap perkembangan terkini berkaitan isu murtad di negara ini.Sebenarnya, tegas beliau, ia bukanlah kes pertama seumpamanya di Malaysia, seperti yang dinyatakan oleh sesetengah laporan media. “Abim dimaklumkan bahawa memang sudah ada sebelum ini beberapa kes melibatkan saudara baru yang telah memohon dan mendapat kebenaran mahkamah syariah untuk keluar dari agama Islam. Cuma kes-kes lain sebelum ini tidak mendapat liputan meluas,” tegasnya.

Bagaimanapun, katanya, perlu ditegaskan bahawa adanya kes-kes ini bukan bermakna persoalan tersebut dalam negara ini sudah jelas dan seragam.”Hakim Mahkamah Syariah yang memutuskan kes-kes ini telah membuat keputusan berdasarkan fakta kes masing-masing, dalam situasi peruntukan undang-undang berkaitan murtad masih belum jelas atau seragam di negeri-negeri.”Walaupun negeri-negeri mempunyai bidangkuasa tersendiri dalam hal-ehwal Islam, namun ada keperluan kepada suatu sikap perundangan atau fatwa yang sejelas mungkin dan seragam berkaitan permohonan keluar agama Islam di negara ini.

“Isu murtad di Malaysia sering menjadi tumpuan masyarakat dalam dan luar negara dan menjadi alasan sesetengah pihak untuk memberi gambaran negatif terhadap Islam dan umat Islam di Malaysia,” tambanya.
Menurutnya, kes Siti Fatimah adalah kesan pelbagai keputusan mahkamah sebelum ini, termasuk keputusan Mahkamah Sivil tertinggi di Malaysia, Mahkamah Persekutuan dalam kes Azlina Jailani atau Lina Joy, yang mempertegaskan bidangkuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah dalam kes-kes murtad dan seumpama dengannya. Justeru, katanya, kedudukan Mahkamah Syariah sebagai forum terbaik bagi menentukan status agama seseorang yang asalnya beragama Islam, tidak patut dipertikaikan lagi. “Terlepas dari soal betul-salahnya penghakiman dalam kes Siti Fatimah ini, ia membuktikan bahawa Mahkamah Syariah boleh dan mungkin membuat yang memihak kepada sentimen pihak bukan Islam. Adalah jelas tanggapan bahawa Mahkamah Syariah akan sentiasa berat sebelah terhadap pihak Islam adalah salah dan tersasar.

“Dengan latar tersebut, Abim merasa kesal dengan sikap Majlis Peguam Malaysia melalui naib pengerusinya, Ragunath Kesavan seperti yang dilaporkan oleh media, yang terus-menerus berkeras bahawa kes-kes seumpama ini sepatutnya ditangani oleh Mahkamah Sivil.”Semua pihak haruslah menghormati penghakiman dalam kes tersebut. Sudah tentu ini tidak menutup ruang untuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) memfailkan rayuan terhadap penghakiman tersebut untuk dipertimbangkan di peringkat yang lebih tinggi.”Sepintas lalu, nampaknya kedudukan isu tersebut tidaklah begitu mudah. Tidak semestinya faktor bahawa seseorang itu telah tidak mengamalkan amalan-amalan agama Islam, wajar menjadi faktor utama penentu status agama seseorang Islam,” tegas Yusri.

Bagaimanapun, tegasnya, ia mungkin sesuai dalam situasi yang melibatkan seseorang saudara baru yang keislamannya pada asalnya tidak jelas serta boleh dipertikaikan ketulenannya. Akhirnya, kata Yusri, pihak berkuasa agama perlu lebih bersungguh-sungguh dan cekap dalam memelihara kefahaman dan penghayatan agama saudara-saudara baru. “Walau apapun latar dan tujuan sebenar seseorang saudara baru itu memeluk Islam, pihak berkuasa agama berada dalam posisi yang strategik dan mempunyai kapasiti untuk menyempurnakan penghayatan Islam mereka.

“Abim turut kesal , jikalau benar, seperti gambaran yang disebut dalam penghakiman kes tersebut, bahawa dalam kes ini, pihak berkuasa agama negeri terbabit telah gagal mengambil langkah-langkah yang semaksima mungkin dalam memelihara hal-ehwal keagamaan para saudara baru,” katanya.

Sumber dipetik : http://www.malaysiakini.com