KUALA LUMPUR 26 Mei – Kerajaan hari ini menetapkan semua stesen minyak di sempadan Thailand dan Singapura, dilarang sama sekali menjual petrol dan diesel kepada kenderaan asing berkuat kuasa Jumaat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Parlimen hari ini.

Katanya, larangan itu membabitkan semua stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 30 hingga 50 kilometer di sempadan Malaysia-Thailand membabitkan Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan.

“Ia turut membabitkan beberapa daerah di Johor termasuk di Kulai dan Johor Bahru,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Parlimen di sini hari ini.

Shahrir berkata, arahan bertulis mengenai larangan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 itu akan dikeluarkan kepada kira-kira 200 hingga 300 pemilik stesen minyak di kawasan yang telah dikenal pasti dalam masa terdekat ini.

Oleh itu kata beliau, pihaknya akan menempatkan pegawai di stesen berkenaan bagi memantau keadaan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang ingkar.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, mengikut akta berkenaan, syarikat terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, manakala individu RM100,000.

Usaha itu katanya, bagi mencegah kenderaan dari negara jiran yang terlalu banyak datang membeli petrol dan diesel subsidi di stesen-stesen minyak di sempadan.

“Saya membawa perkara ini kepada jawatankuasa inflasi dan dipersetujui,” katanya.

Beliau berkata, larangan itu akan dilaksanakan hingga pihaknya dapat menentukan sistem pengurusan subsidi yang sesuai untuk mengawal penjualan atau pembelian secara optimistik.

Katanya, usaha itu adalah langkah tegas kerajaan untuk mengurangkan ketirisan dan kebocoran subsidi supaya ia dinikmati rakyat negara ini yang berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, bagi para pelawat atau pelancong yang datang ke negara ini katanya, mereka boleh membeli bahan api itu di stesen-stesen di luar dari kawasan larangan tersebut.

“Kenderaan asing kena datang (ke Malaysia) dengan tangki penuh, cukup hendak balik (negara mereka), tetapi kalau hendak datang melawat selepas lebih 50 kilometer, mereka boleh beli dari stesen di luar kawasan sempadan ini.

“Kalau beli di kawasan sempadan ini, kita akan suruh mereka balik dan pegawai kami akan memantau keadaan ini,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) supaya pemberian subsidi petrol dilakukan mengikut kuasa kapasiti enjin kereta, Shahrir berkata, pihaknya turut mengambil kira cadangan itu dan sedang mengkaji mekanisme yang sesuai.

Antaranya, kata beliau, ia membabitkan latar belakang pemilik kenderaan bagi mengenal pasti mereka layak menerima subsidi berkenaan.

Utusan Online