PUTRAJAYA 2 Jun – Kedua-dua bongkah batu di Batuan Tengah atau Middle Rocks milik Malaysia yang terpisah antara jarak 500 hingga 600 meter di Selat Singapura mungkin akan dicantumkan. Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Kabinet Rabu ini memandangkan “kedua-dua bongkah batu itu sangat rapat dan boleh dicantumkan untuk menjadikan kedudukannya lebih panjang dan lebar.” Batuan Tengah terletak kira-kira 1.1 kilometer ke selatan Batu Putih yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai milik Singapura. Menurut Rais, tinjauan pasukan jawatankuasa teknikal Malaysia di Batuan Tengah tiga hari lalu yang turut disertai Polis Marin, Jabatan Pemetaan dan Jabatan Meteorologi mendapati ia berpotensi dijadikan pusat penyelidikan cuaca, pusat perhentian dan stesen pemerhatian gerak laku laut. “Kunjungan pasukan Malaysia ini yang tidak menerima halangan pihak Singapura bertujuan menilai keadaan kawasan itu secara lebih dekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. utusan.com.my