Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang juga adalah Penasihat kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), semasa sidang interviewnya secara lintas langsung bersama Haslinda Amin, wartawan Bloomberg.com memberi pelbagai respon terhadap perkembangan terbaru di Malaysia. Ramai pihak ternanti-nantikan respon terus daripada DSAI dan pendiriannya terhadap isu semasa negara terutamanya terhadap tindakan bekas pimpinanan PKR yang tiba-tiba mendapat perhatian media tempatan. Terdapat empat (4) isu semasa yang hangat telah dibangkitkan antaranya ialah:

i) Keputusan Tun Mahathir Keluar UMNO

Beliau menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamed mempunyai pengaruh (sebagai bekas Presiden UMNO) di dalam masyarakat awam Malaysia (khususnya parti UMNO) yang sangat menggugat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) yang menampakkan kelemahan mentadbir negara, dianggap berkuasa dan bila Mahathir meletak jawatan, ramai yang menunggu ahli Parlimen yang lain mengikuti jejak langkahnya tetapi Mahathir gagal.

Apabila Wartawan bertanyakan berapa lama Pak Lah boleh bertahan? DSAI menjawab keistimewaan Pak Lah bukan terletak pada kuasanya, tetapi disebabkan beliau mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang lemah yang terlibat dengan banyak skandal dan jenayah serta tidak berupaya menjawab tuduhan berat berkaitan rasuah. DSAI dilihat tidak dapat menentukan tarikh sebenar atau mengagak bilakah pemerintahan Pak Lah akan berakhir tetapi begitu teruja ‘menyerang’ Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang berkemungkinan besar menggantikan Pak Lah. Kenapa DSAI begitu teruja menyerang DS Najib berbanding Pak Lah? Apakah mungkin dendam kesumat DSAI terhadap Tun Mahathir telah jatuh kepada DS Najib?

ii) Ezam Masuk UMNO

DSAI menyatakan Ezam meninggalkan parti (merujuk kepada PKR) dua tahun yang lepas (pada tahun 2006)! Ezam tidak menyertai PilihanRaya Umum Mac 2008 yang lalu, dan tidak berada semasa kongres parti terbaru. Maka insiden tersebut dilihat sebagai peluang UMNO mengungkit cerita-cerita lepas bagi merencatkan kebangkitan rakyat yang menuntut perubahan kerajaan. DSAI juga menegaskan Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya tanpa adanya Ezam. DSAI juga sudah menjangkakan tindakan Ezan tersebut apabila Ezam meninggalkan parti PKR. Maka sudah terbukti bahawa Ezam tidak mempunyai apa-apa pengaruh besar pun jika dibandingkan dengan pengaruh Tun Mahathir!

iii) Pembentukan Kerajaan Malaysia yang baru

Berhubung isu pembentukan Kerajaan Malaysia yang baru, ianya boleh berlaku jika dilihat kepada situasi terdapat ahli Parlimen UMNO yang berminat melompat parti kerana masa depan UMNO yang gelap, masalah dalaman UMNO yang di luar jangkaan banyaknya, isu Sabah dan Sarawak yang mempunyai tawaran yang lebih baik (daripada Pakatan Rakyat) mengenai penghapusan kemiskinan, dan isu pembahagian royalti minyak yang lebih tinggi.

DSAI juga menyatakan sebab kenapa beliau masih belum bertanding dalam pilihanraya kecil. Beliau yang yakin tiada isu bila beliau akan bertanding selain pihak berkuasa yang tidak memberikan jawapan muktamad kerana terdapat banyak tipu muslihat. Pihak tertentu juga akan memainkan isu ini apabila beliau bertanding setelah ada yang mengundurkan diri bagi memberi laluan kepadanya. Beliau pula menekankan yang lebih penting sekarang ialah membentuk kerajaan Malaysia baru!

iv) Siapa Timbalan PM jika Anwar adalah Perdana Menteri?

DSAI yang cuba mengelak dengan memberikan jawapan rigid tetapi memberi alasan pihak mesyuarat parti yang akan menentukan siapa Timbalannya. Bagaimanapaun wartawan telah mengaitkan nama Lim Guan Eng setelah berjaya memimpin Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. DSAI menyatakan bahawa beliau tidak menutup peluang tersebut. Adakah DSAI ingin mengambil hati pengundi-pengundi Cina dengan berpendirian begitu? Jika benar apa yang akan berlaku (iaitu Timbalan PM Malaysia adalah bukan Melayu), sudah tentu DSAI akan mendapat mandat yang lebih kukuh berbanding Pak Lah yang mempunyai Timbalan PM yang lemah (seperti yang dinyatakan oleh DSAI). Sungguh hebat teka-teki DSAI dan tindak-tanduknya yang semakin sukar diramalkan oleh penganalisis! Dengan temuramah tersebut yang berakhir dengan persoalan siapa bakal menjadi Timbalannya, ternyata terdapat agenda khusus bagi beliau sendiri yang ingin memacu sendiri Malaysia sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6!

http://whitenaval.wordpress.com