Oleh SOBRI SUDIN

AKHIRNYA polemik berhubung tanggungan besar yang terpaksa dipikul oleh kerajaan berhubung biaya subsidi yang bakal mencecah sehingga RM56 bilion terungkai apabila harga minyak dinaikkan, sebanyak 78 sen bagi petrol dan RM1 untuk diesel mulai 5 Jun 2008. Dengan kadar baru yang harus dibayar RM2.70 sen bagi setiap liter petrol dan RM2.58 bagi diesel, kesan jangkitan akan mulai merebak ke dalam sektor-sektor ekonomi lain.

Kesan segera ialah kenaikan tarif elektrik, kenaikan kos di pihak pengusaha, industri, sektor pembuatan, perkhidmatan serta pengangkutan yang sekali gus akan menjadikan pengusaha tidak punyai alternatif lain selain menaikkan harga barangan.

Seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, penjimatan subsidi tahunan hasil kenaikan harga minyak dengan sejumlah RM13.7 bilion mampu digunakan untuk biaya subsidi di sektor lain bagi menyerap kenaikan harga barangan asas lain selain digunakan untuk tujuan yang lebih bermakna.

Seperti peruntukkan RM4 bilion untuk dana jaminan bekalan makanan negara, RM1.5 bilion untuk subsidi minyak masak, RM400 juta subsidi bagi pembelian beras import, RM200 juta subsidi untuk harga tepung, RM100 juta untuk subsidi roti dan peruntukkan yang masih lagi besar yakni RM7.5 bilion untuk subsidi harga petrol, diesel dan gas.

Ini membayangkan kenaikan harga minyak yang diumumkan dalam negara masih lagi kompetitif dan jauh lebih rendah harganya daripada kenaikan harga pasaran, yang jika diikutkan harga petrol perlu berada pada lingkungan RM3 seliter ataupun lebih.

Namun perkiraan ekonomi, naik turun harga, daya serapan subsidi untuk bidang lain, kadar tanggungan dan bebanan kerajaan selain usaha pengekangan inflasi adalah isu ataupun masalah ekonomi yang rumit, yang barang kali sukar untuk difahami dan dimengertikan oleh majoriti rakyat.

Meskipun adanya alternatif lain dalam bentuk pemulangan semula subsidi melalui bayaran tahunan RM625 untuk kereta persendirian berkuasa 2000 cc dan pick up 2,500 cc selain bayaran sebanyak RM150 untuk pemilik motosikal yang berkuasa sehingga 200cc, namun tindakan kerajaan bakal mengundang pelbagai persoalan yang jika tidak dijelaskan secara praktikal bakal mengelirukan lebih ramai rakyat.

Bukan itu sahaja, mampu membuka jalan bagi pihak berkepentingan untuk meningkatkan pengaruh politik mereka dan menunjukkan kononnya kerajaan sedia ada tidak cekap dalam menguruskan ekonomi negara.

Polemik kenaikan harga minyak meskipun harus difahami adalah trend global, namun jika diamati membuka lebih banyak persoalan berbanding dengan kefahaman. Antara persoalan teras yang sering difikirkan dan diutarakan oleh rakyat ialah: kenapa harga minyak petrol dan diesel di Malaysia harus dibandingkan dengan harga di Singapura dan Thailand?

Berbanding dengan negara tersebut pengguna di Malaysia turut dibebani dengan kadar upah yang relatifnya masih rendah, kos bayaran tol, cukai jalan dan insurans kereta motor. Sedangkan di Thailand dan Singapura adalah antara negara yang memiliki sistem perhubungan jalan raya yang tidak bertol?

Persoalan kedua, kenapa harga minyak dan diesel dalam konteks Malaysia tidak mahu dibandingkan dengan kadar yang dinikmati oleh negara pengeksport minyak seperti Venezuela, Brunei, Arab Saudi, Kuwait, dan Iran, yang harganya di pasaran tempatan untuk kegunaan rakyat tempatan relatifnya jauh lebih murah?

Apakah kenaikan harga minyak dengan penegasan bahawa akan dinilai semula harganya setiap bulan akan berterusan dan bagaimana dengan dilema rakyat dalam menghadapi kenaikan kos barangan lain, perkhidmatan? Bagaimana dengan nasib pengusaha kecil IKS, nelayan yang sistem pemberian subsidi diesel masih kelam kabut? Bagaimana pula dengan penstrukturan mekanisme subsidi yang diuar-uarkan sebelum ini?

Dalam konteks inilah, jentera penerangan kerajaan harus bertindak bijak, mampu merumuskan jawapan yang praktikal, rasional dalam menghuraikan dilema persoalan asas di atas.

Keupayaan menghurai secara jelas, didokong oleh fakta dan data saintifik mampu memahamkan rakyat berhubung isu yang dihadapi. Kenaikan harga minyak dan asakan kosnya adalah suatu barah yang jika tidak ditangani dengan berhemah akan menjadi ‘duri dalam daging’ sama ada kepada ekonomi negara ataupun sebaliknya kepada rakyat.

Aspek lain, perlulah dipastikan dari sudut implementasi, dan penguatkuasaan bahawa penjimatan subsidi petrol dan diesel sebanyak RM13.7 bilion benar-benar disalurkan kepada keutamaan dan bidang-bidang yang telah ditentukan.

Dalam erti kata lain harus ada jaminan dan realiti berlakunya kadar harga minyak masak, beras, tepung yang rendah di pasaran negara.