BAGI rakyat yang memahami senario kenaikan harga minyak dan makanan adalah kesan dari senario global, mereka boleh merasionalkan tindakan pihak kerajaan apabila harga minyak dinaikkan secara mendadak.

Namun, bagi rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan hidupnya sentiasa bergelut memikirkan bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup harian, konsep-konsep rumit seperti ‘kesan global’ dan ‘krisis makanan dan minyak dunia’ adalah frasa-frasa yang asing serta rumit untuk difahami. Ia menambahkan lagi bebanan psikologi kerisauan mereka.

Bagi mereka, apa yang lebih penting ialah bagaimana hendak memastikan setiap mulut ahli-ahli keluarga dapat disuap.

Tuntutan kehidupan mendesak yang tidak dijaga kebajikannya boleh sahaja meruntuhkan negara. Lihat sahaja betapa demonstrasi-demonstrasi berlaku di negara-negara luar oleh rakyat yang merasakan pihak kerajaan tidak melakukan tindakan yang sewajarnya untuk membantu mereka.

Ahli psikologi, Maslow menjelaskan selagi keperluan-keperluan asas seperti memenuhi perut yang kosong tidak diisi, adalah amat sukar untuk manusia menjadi kreatif dan memenuhi potensi diri mereka.

Apabila rakyat melihat sahaja tanpa dapat berbuat apa-apa akan harga barang terus naik dari hari ke hari, perasaan kebimbangan, kekecewaan serta kerisauan mengenai keupayaan mereka meneruskan kehidupan timbul.

PersepsiSeterusnya, pelbagai tanggapan dan persepsi negatif menjelajah ke minda pengguna. Antara persepsi yang timbul ialah sikap tidak prihatin kerajaan terhadap nasib mereka. Golongan ini merasakan apa yang dilakukan oleh kerajaan tidak mencukupi untuk membantu mereka.

Dalam konteks ini, kerajaan perlu bersifat lebih proaktif dan kreatif dalam menerangkan dasar, langkah dan program-program yang dilaksanakan bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat. Umum mengetahui kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib rakyatnya. Persoalannya, adakah rakyat merasakan keprihatinan kerajaan itu mencukupi? Jika tidak, apakah yang telah berlaku?

Seringkali mesej yang ingin disampaikan melalui komunikasi yang tidak jelas oleh pihak kerajaan disalah anggap oleh rakyat. Apabila ini berlaku maka psikologi kerisauan dan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan akan wujud.

Apabila psikologi kerisauan wujud dan timbul persepsi kerajaan tidak serius membantu mereka, rakyat akan memprotes dalam bentuk mengalih undi kepada pihak yang dirasakan dapat membantu mereka.

Sedangkan pihak yang dirasakan dapat memahami keperitan hidup mereka juga berada dalam situasi yang tidak membantu kerana apa yang berlaku (masalah kenaikan minyak dan makanan) adalah kesan global.

Apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah menimbulkan keyakinan rakyat bahawa kerajaan prihatin dengan masalah mereka dan telah, sedang serta akan, berbuat segalanya untuk mengatasi kebimbangan rakyat berhubung dengan masalah kenaikan harga ini.

Selain daripada memastikan bahawa rakyat berasa selesa dan terjamin psikologi untuk terus berjuang dalam kehidupan harian, kerajaan perlu terus berusaha keras meyakinkan rakyat dalam konteks kenaikan harga minyak dan makanan.

Psikologi kebimbangan rakyat perlu diurus. Keyakinan rakyat bahawa kerajaan yang dipilih adalah amat serius membantu mereka mengharungi kehidupan mencabar ketika harga minyak dan makanan naik adalah penting.

Pihak kerajaan sememangnya telah melakukan yang sedaya mampu untuk membantu rakyat menghadapi kesan kenaikan harga minyak dan makanan. Di samping rakyat perlu berjimat cermat dalam mengurus perbelanjaan kehidupan, adalah amat penting untuk pihak kerajaan berterusan mencari mekanisme untuk mengurangkan bebanan rakyat akibat daripada kesan kenaikan harga minyak dan makanan dunia.

– Dr. Sapora Sipon

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)