Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Jun – Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor diberi kata dua supaya mengkaji semula hasrat menghapuskan peraturan yang mengehadkan saiz rumah ibadat bukan Islam atau mungkin berhadapan tindak balas orang Melayu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, keputusan itu seakan memberi lampu hijau bahawa rumah ibadat boleh dibina tanpa sebarang had walaupun di kawasan perumahan yang didiami pelbagai kaum.

Kata beliau, peraturan yang hendak dihapuskan itu selama ini telah dapat memastikan keperluan sesuatu rumah ibadat di Selangor seimbang dengan jumlah penganutnya sekali gus dapat memelihara keharmonian kaum.

”Peraturan itu dirangka berlandaskan garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak pun sesekali menghalang pembinaan rumah ibadat sebarang agama asalkan ia seimbang dengan keperluan.

”Sebagai contoh, penduduk Selangor beragama Hindu kira-kira 700,000 orang dan jumlah kuilnya lebih 1,000 buah manakala orang Islam pula jumlahnya hampir empat juta orang dengan masjid sebanyak 380 buah.

”Kalau jumlahnya lebih daripada penduduk hingga menimbulkan rasa tidak harmoni saya bimbang akan ada reaksi atau tindak balas kerana tak puas hati oleh orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh dibina dengan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi.

Ia diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr. Xavier Jayakumar bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Negeri, Ronnie Liu.

Keputusan yang dicapai selepas pertemuan dengan pemimpin bukan Islam semalam itu juga mahukan supaya pemaju perumahan menyediakan tapak lebih luas untuk rumah ibadat bukan Islam berbanding 0.4 hektar sahaja ketika ini.

Sementara itu, Mohamad Khir menegaskan, tindak tanduk Xavier dan Ronnie dalam isu ini jelas menggambarkan mereka sebagai tidak memahami sensitiviti orang Melayu.

Katanya, sepatutnya pemimpin kerajaan negeri yang Islam memperhalusi terlebih dahulu isu tersebut sebelum membenarkan anggota Exco berkenaan membuat keputusan yang menyentuh soal seperti itu.

”Sebab itu biar pun ada Pas, tetapi perjuangan Islam mereka seperti tenggelam dengan parti lain manakala PKR pula asyik dengan konsep kesamarataan mereka.

”Sedangkan sesuatu isu tidak boleh ditangani dengan sama rata tetapi memerlukan keadilan dengan dalam isu ini semua kaum mesti mendapat rumah ibadat mereka mengikut keperluan,” jelasnya.

*satuperjuangan-inilah jadinya bila ramai exco bukan Melayu dalam Kerajaan Negeri… sedikit demi sedikit dihakis kuasa orang Melayu