JOHOR BAHRU 8 Jun – Tindakan DAP mendesak empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu supaya tidak memakai songkok pada majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai biadap dan menderhaka kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail.

Beberapa ADUN berpendapat, parti itu secara jelas berpendirian kurang ajar dengan merendahkan peraturan dewan itu serta tidak menghormati adat negeri ini dan orang Melayu.

ADUN Nusajaya, Datuk Aziz Sapian berkata, disebabkan majlis itu akan dirasmikan oleh Sultan Johor maka sesiapa yang tidak mengikuti peraturan dewan tersebut seolah-olah tidak menghormati Sultan.

“Jika wakil rakyat daripada DAP tidak mahu menghormati Sultan atau peraturan Johor maka lebih baik jangan duduk di negeri ini dan keluar serta pergi sahaja ke negeri lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang menyatakan ADUN Bentayan, Mengkibol, Senai dan Skudai berada dalam keadaan serba salah sama ada hendak memakai songkok atau tidak pada majlis perasmian pembukaan DUN pada 19 Jun ini.

Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez berkata, kesemua wakil rakyat tersebut pada dasarnya tidak mempunyai masalah untuk memakai songkok tersebut.

Bagaimanapun katanya, sebahagian ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meminta mereka tidak memakai songkok pada majlis pembukaan yang akan dirasmikan oleh Sultan Johor itu.

Norman berkata, mereka dalam dilema sama ada hendak mengikut arahan CEC atau mengabaikannya dengan memakai songkok pada majlis tersebut.

Aziz berkata, pendirian DAP itu tidak boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat kerana jika dibandingkan wakil rakyat daripada parti lain, misalnya Pas boleh memakai songkok dan bukannya kopiah.

ADUN Tiram, Datuk Maulizan Bujang pula berkata, tindakan DAP itu adalah seperti cuba mencemarkan institusi raja di negeri ini dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat kerana ia menyinggung perasaan orang Melayu.

“Sepatutnya apabila mereka sudah bersetuju untuk menjadi wakil rakyat maka mereka perlu tahu dan mematuhi segala peraturan dewan dan tidak perlu timbul perkara ini,” tegas beliau yang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Pengajian Tinggi Johor negeri.

Menurutnya, semua rakyat khususnya orang Melayu perlu mengambil pengajaran dan sedar terhadap pendirian DAP yang tidak menghormati budaya orang Melayu.

Turut berkongsi pendapat, ADUN Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, empat ADUN DAP tersebut diingatkan supaya jangan bersikap keras kepala atau angkuh sebaliknya perlu berfikiran terbuka dengan mematuhi peraturan.

Menurutnya, arahan DAP pusat perlu diabaikan kerana perkara itu adalah bersangkutan dengan peraturan Johor.

“Mereka perlu berfikiran terbuka kerana memakai songkok bukan bermakna mereka masuk Islam tetapi ia wajib dipakai dalam dewan seperti juga hakim dalam mahkamah memakai rambut palsu,” jelasnya.