Oleh Zulkiflee Bakar

Pemimpin dan ahli-ahli Pas yang akan mengadakan Muktamar Tahunan Ke-54 parti itu di Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Ogos ini sudah tentulah berbangga.

Ini kerana muktamar kali ini akan menyaksikan lebih ramai pemimpin-pemimpin Pas bergelar Yang Berhormat (YB) akan hadir.

Pas kini mempunyai 83 Ahli Dewan Undangan Negeri dan 23 Anggota Parlimen.

Selain itu, jika sebelum ini hanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sahaja akan hadir sebagai Menteri Besar, tetapi kali ini beliau akan diiringi oleh dua orang lagi bertaraf Menteri Besar iaitu Azizan Abdul Razak (Kedah) dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Perak).

Namun begitu dalam keghairahan mereka menyambut kemenangan di luar jangkaan pada pilihan raya umum lalu, ahli-ahli Pas juga harus memahami bahawa prinsip perjuangan mereka semakin terhakis.

Pas kini mahu tidak mahu sudah dilihat sanggup mengorbankan segala-galanya demi merebut kekuasaan politik dan lebih buruk lagi sanggup duduk semeja dengan pihak yang sebelum ini dianggap kalau berkawan boleh menjadi kafir.

Sememangnya, penulis menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat memilih pemimpin Pas menjadi YB dan mengundi parti itu untuk memerintah Kedah, menjadi Menteri Besar di Perak serta terus berkuasa di Kelantan.

Malah penulis juga menghormati keputusan rakyat menerima kesepakatan pemimpin-pemimpin Pas untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat bagi memerintah Selangor.

Tetapi apa yang hendak diperingatkan ialah bagaimana Pas kini semakin lari daripada prinsip perjuangannya.

Dalam satu surat yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dalam ruangan Forum pada Jumaat lalu, seorang pembaca yang menamakan dirinya sebagai Pa’Sheikh menggariskan apa yang disifatkan oleh beliau, Pas sudah berubah.

Antara hujahnya:

l Pas pernah menganggap suara wanita adalah aurat sehingga Kelantan tidak menghantar wakil bagi majlis tilawah tetapi sekarang ketua pembangkang di Parlimen adalah seorang wanita.

l Sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu fatwa Pas – Wanita tidak boleh menjadi calon tetapi mengikut keadaan fatwa berubah dan ia dibolehkan. Yang anehnya ada kawasan pilihan raya, yang mana calon Pas seorang lelaki dan calon UMNO seorang wanita. Semasa kempen pilihan raya di kawasan tersebut, Pas berkempen tidak boleh mengundi calon wanita. Sesiapa mengundi calon wanita adalah dayus kerana wanita tidak boleh menjadi pemimpin.

l UMNO bekerjasama dengan MCA, MIC dan lain-lain (parti orang-orang kafir) menurut Pas adalah haram. Sekarang Pas berada dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP).

Inilah antara hujah-hujah beliau bagi menunjukkan bagaimana Pas telah berubah dan mengikut keadaan semasa.

Dalam soal ini, sudah tentulah pemimpin dan ahli Pas yang taksub akan tetap menyokong langkah saf kepimpinan kononnya atas dasar demi menegakkan kebenaran dan keadilan di Malaysia.

ResahTetapi kita juga yakin ada di kalangan ahli-ahli Pas yang semakin merasa resah dengan sikap tidak konsisten parti itu dalam usaha untuk memperoleh kuasa politik.

Malah sesetengah orang Melayu atas pagar yang menyokong Pas dalam pilihan raya umum lalu juga tertanya-tanya apa sudah jadi dengan Pas yang ternyata sanggup mengamalkan sikap matlamat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan politik.

Sebelum ini kita harus akui, Pas dilihat parti alternatif kepada orang Melayu, Pas sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam, ertinya yang haram tetap haram, yang halal tetap halal.

Namun ternyata akibat keghairahan untuk bersama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Rakyat dan ditambah pula kejayaan di luar dugaan dalam pilihan raya, Pas sudah melupakan asas-asas perjuangannya.

Mungkin bagi Pas sekarang:

l Suara wanita bukanlah lagi aurat, justeru mereka menerima Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ketua Pembangkang dan meletakkan calon wanita bertanding dalam pilihan raya.

l Berkawan dengan parti bukan Islam tidak lagi kafir atas sebab itu mereka sanggup membantu berada dalam satu kerajaan dengan DAP di Perak dan Selangor. Biarpun hakikatnya di Perak, Pas tidak ubah hanya menjadi boneka kepada DAP.

l Tidak apa menyokong dasar yang salah demi mempertahankan kekuasaan atas sebab itulah mereka menyokong projek ternakan babi di Selangor.

Semua tindakan ini dengan jelas membuktikan Pas sudah berubah. Pas bukanlah lagi sebuah parti yang sentiasa istiqomah dalam perjuangannya.

Justeru muktamar Pas kali ini diharapkan akan menjadi landasan kepada ahli-ahli Pas yang masih sayangkan parti itu untuk menegur kealpaan pemimpin- pemimpin mereka.

Tidak salah untuk menegur perkara yang betul kerana Rasulullah SAW bersabda, katalah benar, sekalipun ia pahit.

Oleh itu ahli-ahli Pas harus bermuhasabah dan mengkaji keterlanjuran yang semakin banyak dilakukan oleh pemimpin-pemimpin atasan mereka.

Teguran yang dibuat bukanlah bertujuan untuk melemah atau menjatuhkan Pas tetapi sekadar peringatan supaya Pas tidak terus tenggelam dengan keghairahan untuk merebut kuasa politik sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP.

Lebih daripada itu untuk kembali kepada asas perjuangannya seperti mana yang disiarkan suara rasmi Pas, Suara Islam bertarikh 17 Mac 1957 yang menyatakan:

“Tertubuhnya Pas adalah semata-mata kerana umat Islam di negeri ini ingin mewujudkan dan mengisi perjuangannya dengan apa yang menjadi keyakinan dan pandangan hidupnya sebagai umat Islam dan sebagai hamba Allah yang patuh kepada ajaran tuhannya.”

Justeru dalam melakukan apa juga keputusan dan pendirian, ahli-ahli Pas harus mengkaji kata saudara Amaludin Darus dalam buku beliau bertajuk, Kenapa saya tinggalkan Pas terbitan tahun 1977.

Antara lain beliau berkata, “Saya tidak mahu menyertai satu kumpulan yang bercakap tetapi tidak berbuat. Menegur orang lain, tetapi memejam mata kepada kesilapan-kesilapan golongan sendiri.”

Tetapi dalam keadaan sekarang ahli- ahli Pas masih mempunyai kesempatan untuk memperbetulkan keadaan. Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah menyatakan kebenaran kerana Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya berkata benar itu menunjukkan ke arah kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan jalan ke syurga. Sesungguhnya seseorang itu nescayalah berkata benar sehingga di sisi Allah dicatat sebagai ahli berkata benar.

Persoalannya, mampukah ahli-ahli Pas melakukannya? Mungkin sekali lagi pandangan dalam tulisan ini akan dianggap untuk memecah-belah Pas kerana maklumlah Pas kini dilihat semakin kuat.

BermaharajalelaPenulis tidak menafikan fakta ini bahawa Pas semakin mendapat sambutan tetapi dalam masa yang sama ahli Pas tidak boleh membiarkan kesilapan pemimpin-pemimpin mereka bermaharajalela di depan mata.

Orang Melayu juga tertanya-tanya apa sudah jadi dengan Dewan Ulama Pas yang sebelum pilihan raya lalu begitu lantang menegur kesilapan yang dilakukan oleh Pas.

Apakah Dewan Ulama juga sudah memasuki ‘zon selesa’ berikutan kejayaan Pas dalam pilihan raya umum lalu?

Bagaimana pula dengan Dewan Pemuda Pas? Kenapa terus berdiam diri biarpun mereka tahu ada beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin utama mereka telah melanggar prinsip perjuangan atau fatwa parti itu?

Apakah dewan itu sudah tidak berani lagi bersuara kerana bimbang dianggap mempunyai semangat ‘pepsi cola’?

Namun persoalannya, apakah ketika ini Pas masih ‘pening’ akibat arus tsunami politik yang berlaku sehingga memungkinkan mereka melihat apa sahaja yang boleh menguntungkan politik mereka harus diterima?

Oleh itu bagi mengelakkan pemimpin-pemimpin Pas terus alpa sehingga mengelirukan orang Melayu dan ahli Pas khasnya, mereka perlu diperingatkan semula mengenai matlamat perjuangan parti.

Pas seharusnya tidak terlalu ghairah untuk mengejar kuasa politik sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja.

Jika ahli-ahli Pas, selepas 8 Mac lalu begitu lantang mengkritik UMNO dalam pelbagai perkara, mereka juga harus mempunyai keberanian untuk menegur kepimpinan Pas.

Ahli-ahli Pas tidak boleh selama-lamanya melihat sahaja satu demi satu tindak tanduk yang bercanggah dengan prinsip perjuangan parti itu dilanggar oleh pemimpin-pemimpin mereka.