Apabila Timbalan Perdana Menteri Israel Shaul Mofaz, baru-baru ini memberi amaran untuk menyerang Iran, sekiranya republik Islam itu tetap meneruskan usaha membangunkan program nuklearnya, timbul persoalan apakah rejim zionis itu bersungguh- sungguh? Atau ia semata-mata satu tindakan untuk menggertak Iran?

Jika dilihat daripada pendirian Israel sejak negara itu ditubuhkan pada 1948, rejim zionis itu tidak pernah bergurau tentang segala tindakannya, terutama apabila kepentingan, kedudukan dan keselamatannya terancam.

Israel juga tidak pernah mempunyai pertimbangan politik, diplomasi mahupun peri kemanusiaan dalam mengambil sebarang tindakan demi mempertahankan kepentingannya.

Ini dapat dilihat daripada tindakan-tindakannya terhadap rakyat Palestin. Israel sanggup melakukan penindasan dan keganasan terhadap penduduk Palestin tanpa sebarang peri kemanusiaan, termasuk mengetepikan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rejim zionis itu hanya mempunyai satu pertimbangan dalam membuat keputusan iaitu pertimbangan sendiri, tanpa mempedulikan pandangan antarabangsa.

Daripada rekod tindakan-tindakannya selama ini, negara Yahudi itu sanggup berbuat apa sahaja, melanggar undang-undang antarabangsa, hatta menceroboh negara asing demi mempertahankan apa yang dianggapnya sebagai menjaga kepentingannya.

Israel pernah menceroboh Uganda, apabila pesawat khas yang membawa komando-komandonya memasuki ruang udara banyak negara sebelum menceroboh Uganda semata-mata untuk membebaskan 100 rakyatnya yang ditahan sebagai tebusan dalam satu rampasan kapal terbang Air France oleh pejuang Palestin dan Jerman pada 1976.

Maka tidak hairanlah sekiranya, Mofaz bekas Menteri Pertahanan Israel itu sanggup mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman untuk menyerang Iran kerana pembangunan program nuklear Iran bukan setakat mengancam kepentingannya tetapi juga boleh mengancam keselamatan Israel.

Dalam konteks ini, Israel pernah menyerang Iraq pada 1981 bagi memusnahkan kemudahan nuklear Osirak dekat Baghdad, untuk mengelakkan Iraq yang pada masa itu di bawah kepimpinan Saddam Hussein membangunkan senjata nuklear.

Yang terbaru Israel telah menyerang Syria pada September tahun lalu bagi memusnahkan apa yang didakwa Israel sebuah reaktor nuklear Syria yang dibina dengan bantuan Korea Utara. Syria bagaimanapun menafikan memiliki reaktor demikian.

Bagaimanapun, banyak pihak membayangkan kenyataan Mofaz itu yang juga Menteri Pengangkutan Israel adalah satu kenyataan politik bagi memancing sokongan untuk melonjakkan imejnya di dalam negara, berikutan kredibiliti Perdana Menteri Israel Ehud Olmet kini tergugat berikutan skandal rasuah yang melibatkan beliau.

Tetapi daripada persiapan yang sedang dilakukan oleh Israel termasuk mengadakan kempen latihan tentera besar-besaran di selatan Mediterranean dan Greek menunjukkan Israel bukan bergurau dalam hal ini.

Pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan Israel mengadakan latihan tentera besar-besaran melibatkan lebih 100 pesawat pejuang F-16 dan F-15 sejak minggu pertama bulan ini sebagai persiapan menyerang Iran.

Seorang pegawai Pentagon berkata, latihan itu juga bertujuan menghantar isyarat yang jelas kepada Iran bahawa Israel bersedia melancarkan tindakan ketenteraan jika usaha lain yang dirancang bagi menghentikan program nuklear Iran menemui kegagalan. Israel mahu Iran sedar bahawa mereka bersungguh-sungguh mengenai serangan tersebut.

Iran juga sedar Israel memang serius apabila ia memberi kata dua untuk menyerang Iran, sehingga mendorong negara itu mengeluarkan kenyataan balas yang keras akan mengajar Israel dengan pengajaran yang menyakitkan sekiranya rejim zionis itu mengambil tindakan menyerang Iran.

Kenyataan

Ini dapat dilihat daripada kenyataan Menteri Pertahanan Iran, Mostafa Mohammad Najjar sebagai membalas kenyataan Mofaz itu, dengan memberi amaran kepada Israel mengenai tindak balas yang “sangat menyakitkan” jika rejim Yahudi itu melancarkan serangan untuk menghentikan program nuklear Republik Islam Iran.

Pada masa yang sama, Iran berada dalam keadaan yang tertekan kerana program nuklearnya itu turut mendapat kecaman hebat bukan sahaja daripada Israel, tetapi juga AS, PBB, Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara kuasa besar termasuk Rusia, China, Perancis dan Britain.

Persoalannya apakah Israel bersedia dan mempunyai kemampuan untuk menyerang Iran? Apakah Iran pula mempunyai kemampuan untuk membuat serangan balas yang menyakitkan seperti yang dijanjikan?

Walaupun Israel merupakan negara yang mempunyai pasukan tentera dan persenjataan yang kuat di rantau Asia Barat tetapi Israel, malah AS sedar ia tidak boleh memperkecilkan kemampuan Iran untuk bertindak balas sekiranya Israel benar-benar menyerang Iran.

Malahan tindakan EU dan AS menawarkan pakej terbaru kemudahan dan bantuan yang menarik kepada Iran baru-baru ini, sekiranya republik Islam itu menggantung program nuklearnya menggambarkan mereka sedar kemampuan Iran dan terpaksa menawarkan pakej yang menarik sebagai justifikasi kepada apa yang Iran akan hilang, sekiranya ia menerima tawaran EU dan AS itu. Iran awal-awal menolak tawaran itu.

Kejayaan Iran membangunkan peluru berpandu balistik terbaru Ashura yang mampu mengenai sasaran sejauh 2,000 kilometer menunjukkan Iran mempunyai kemampuan untuk menyerang mana-mana pangkalan AS di Iraq, Afghanistan dan semenanjung Arab termasuk Israel.

Sekiranya, dakwaan Barat bahawa Iran sedang membangunkan program pengayaan uranium peringkat tertinggi adalah benar, tidak mustahil Iran sudah mempunyai keupayaan untuk membangunkan bom atom.

Iran juga didakwa sedang membangunkan penyelidikan membina peledak peluru berpandu dan jika semua dakwaan itu benar, peluru berpandu balistik Iran yang dipasang dengan peledak bom atom mampu sampai ke Israel dan boleh membawa kemusnahan besar kepada negara zionis itu.

Iran juga mempunyai hubungan yang rapat dengan pejuang-pejuang Palestin di Lebanon dan juga di Tebing Barat dan Gaza, yang mampu melancarkan serangan roket ke arah Israel.

Apa yang mungkin dimaksudkan oleh Mostafa sebagai pengajaran menyakitkan jika Israel menyerang Iran ialah Iran bukan sahaja akan menggunakan segala kekuatan tenteranya, tetapi juga menggerakkan pejuang-pejuang Palestin melakukan serangan terhadap Israel dan juga menggunakan sumber minyaknya sebagai senjata.

Iran juga mampu menggunakan tentera berani matinya untuk menyerang Israel dan pangkalan-pangkalan AS serta kawasan-kawasan strategik AS dan sekutunya di seluruh dunia. Jika itu berlaku, AS dan negara-negara sekutunya pasti tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman dan rakyat AS akan sentiasa dalam keadaan ketakutan.

Israel pula, walaupun tidak pernah mengembar-gemburkan kekuatannya, tetapi banyak pihak melaporkan Israel kini mempunyai simpanan bom nuklear antara 60 hingga 400 , yang boleh digunakan sekiranya kedudukan negara itu tergugat.

Israel juga mempunyai kekuatan ketenteraan konvensional dan kelengkapan tentera yang canggih termasuk peluru berpandu jarak jauh Jericho yang boleh mengenai sasaran sejauh 7,000 kilometer.

Bagaimanapun, Israel sedar ia tidak mampu melakukan serangan itu bersendirian dan memerlukan bantuan AS bagi menjayakan agendanya menyerang Iran.

Sementara itu, banyak pihak melihat senario permainan tarik ‘‘rantai berapi’’ antara Israel dan Iran itu hanya gimik politik dan ketenteraan yang mempunyai kepentingan ekonomi di belakangnya yang didalangi AS.

Kenyataan amaran dan ugutan oleh Israel untuk menyerang Iran hanya memburukkan lagi keadaan harga minyak global.

Setiap kali Israel mengeluarkan kenyataan mahu menyerang Iran dan setiap kali pula Iran membalas kenyataan itu dengan menggertak Israel akan menghukum negara itu dengan tindakan yang menyakitkan, maka ia akan menyebabkan berlaku keadaan yang tidak menentu sekali gus boleh mendorong harga minyak terus melambung.

Spekulator akan mengambil kesempatan daripada insiden itu untuk memanipulasi harga minyak dan mengaut keuntungan daripada kenaikan harga minyak.

Pada masa yang sama AS turut mengeluarkan kenyataan amaran akan menyerang Iran kerana keengganan negara itu mematuhi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) supaya ia menghentikan program nuklearnya.

AS mempunyai peristiwa hitam dengan Iran apabila kedutaannya di Teheran telah ditawan selama 444 hari sewaktu kebangkitan Revolusi Iran pada 1979. Malah AS mendakwa Ahmadinejad merupakan salah seorang daripada yang terbabit dalam usaha menawan kedutaan AS ketika itu.

Apabila Iran membangunkan program nuklearnya, AS menjadikannya alasan yang kuat untuk bertindak terhadap negara itu dengan memberi alasan Iran merancang membina bom atom secara sulit, sehingga negara kuasa besar itu berkali-kali mengeluarkan amaran akan menyerang Iran.

Dalam hal ini, tidak mustahil AS akan mengambil tindakan bersendirian menyerang Iran bagi melumpuhkan Iran buat selama-lamanya supaya ia tidak lagi berupaya memberi ancaman kepada Israel.

Malahan ada desas-desus yang menyatakan bahawa Presiden Gerorge W. Bush akan menyerang Iran sebelum tempoh penggal pentadbirannya tamat pada Januari 2009 tetapi dinafikan oleh White House.

AS mempunyai kelengkapan dan kemampuan untuk menyerang Iran, dengan 150,000 tenteranya berkubu di Iraq dan segala kelengkapan persenjataan yang canggih serta pangkalannya di beberapa negara Arab, AS bersedia untuk menyerang Iran pada bila-bila masa.

AS kini mempunyai pangkalan tenteranya di kebanyakan negara di Asia Barat termasuk di Arab saudi, Bahrain, Qatar, Kuwait, Oman, Emiriyah Arab Bersatu, Pakistan, Uzbekistan, Iraq dan Turki.

Selain itu, AS boleh menggunakan pangkalan tentera NATO di Afghanistan bagi menjalankan kempen ketenteraan terhadap Iran.

Bagaimanapun, isyarat yang jelas tentang tindakan agresif AS terhadap Iran ialah kehadiran kapal-kapal induk AS di Teluk Parsi seperti USS Stennis dan USS Nimitz, kerana kehadiran kapal perang itu memberi mesej mengenai kehadiran negara tersebut di kawasan terbabit.

Pada masa yang sama, AS juga menggunakan pendekatan diplomatik bagi mengenakan tekanan ke atas Iran apabila Bush menggunakan Sidang Kemuncak EU-AS yang berlangsung di Slovenia untuk mengenakan tekanan keras ke atas Iran.

EU telah menyatakan pendirian bahawa mereka komited untuk mengenakan tindakan susulan bagi menyokong dan mengukuhkan sekatan yang telah diambil oleh PBB ke atas Teheran berhubung program nuklearnya termasuk membekukan aset bank Iran di Eropah.

Pada persidangan itu, Bush turut menyatakan pendirian dan memberi amaran kepada Teheran bahawa Iran akan menghadapi tindakan yang lebih besar, sekiranya ia tetap meneruskan program nuklearnya.

Kempen ugutan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk menyerang Iran serta gertakan Iran untuk menyerang balas dengan tindakan yang ‘‘sangat menyakitkan’’ boleh membahayakan dunia.

Jika Israel atau AS menyerang Iran, rantau Asia Barat yang sememangnya tidak stabil akan terus bergolak.

Pada waktu itu, apakah Rusia yang selama ini membantu Iran dalam program nuklearnya akan berdiam diri membiarkan AS memperluaskan pengaruhnya di Asia Barat? Rusia yang kini kembali mewarnai peranannya di pentas antarabangsa sebagai kuasa besar dunia pasti akan campur tangan bagi meningkatkan imejnya semula sebagai sebuah kuasa besar dunia yang disegani dan dapat mengimbangi kuasa AS.

Jika itu berlaku dunia dalam bahaya dan senario itu bukan sahaja boleh mengugat keselamatan bahkan menghancurkan ekonomi dunia.