Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Faizatul Farhana Farush Khan


Khalid

Penduduk Ampang Jaya dakwa individu dicadang ada rekod jenayah, orang luar

SHAH ALAM: Dua orang yang bakal dilantik oleh kerajaan Pakatan Rakyat sebagai ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada Sabtu ini dikatakan mempunyai rekod jenayah, manakala seorang lagi berasal dari luar kawasan itu.

Pelantikan ketiga-tiga individu itu dikatakan disokong Ahli Parlimen Ampang yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin.

Pendedahan itu dibuat seorang penduduk Ampang Jaya dalam surat yang dialamatkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan salinannya diedarkan kepada pemimpin PKR serta media, semalam.

Abdul Khalid yang ditanya mengenai perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini bagaimanapun berkata, pelantikan ahli majlis itu akan tetap diteruskan dan aduan berkenaan akan diselesaikan kemudian.

“Proses penyemakan akan dibuat dalam tempoh enam bulan selepas mereka menjadi Ahli Majlis di MPAJ. Aduan ini tidak akan menghalang kerajaan negeri daripada meneruskan pelantikan Ahli Majlis di MPAJ.

“Kami akan melantik mereka terlebih dulu sebelum menjalankan proses terbabit dan jika kami mempunyai alasan serta bukti kukuh yang mereka ada rekod jenayah, kami akan membatalkan pelantikan mereka,” katanya.

Dalam surat yang menamakan penulisnya sebagai ‘Penduduk Ampang Yang Hampa’ itu, pengadu mendakwa dua daripada lelaki yang bakal dilantik itu mempunyai rekod jenayah dan pernah terbabit dalam pertubuhan kongsi gelap.

Sumber polis yang dihubungi mengesahkan seorang daripada individu itu mempunyai rekod jenayah termasuk terbabit dalam kes samun berdasarkan semakan kad pengenalannya, manakala rekod seorang lagi tidak dapat disemak kerana nombor kad pengenalannya tidak diperolehi.

Penulis surat itu mendakwa individu pertama juga pernah dibuang daerah pada 2003, sementara seorang lagi yang juga ahli perniagaan turut memiliki rekod jenayah tetapi dilantik sebagai Ahli Majlis berdasarkan kedudukannya dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Dia juga adalah kenalan rapat kepada seorang ketua bahagian parti yang menyertai Pakatan Rakyat. Individu ketiga pula berasal dari Puchong dan aktivis sebuah NGO yang tidak dikenali penduduk Ampang,” katanya.

Penulis surat itu mendesak Menteri Besar mengkaji semula pelantikan mereka kerana yakin penduduk Ampang akan hilang kepercayaan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat jika ketiga-tiga individu terbabit dilantik.

Abdul Khalid ketika menjawab soalan pemberita berkata, 288 ahli majlis pihak berkuasa tempatan yang dilantik kerajaan negeri akan menerima watikah pelantikan daripadanya pada satu majlis khas di sini pada 5 Julai ini.

Jumaat lalu, Penyelaras NGO India Kuala Selangor, A Gunanathan, turut menghantar memorandum bantahan kepada Abdul Khalid kerana melantik lima individu yang didakwa tidak layak sebagai Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Gunanathan mendakwa, daripada lima Ahli Majlis MDKS itu, seorang tidak mempunyai kelulusan mencukupi untuk menjawat Ahli Majlis manakala empat lagi didakwa bukan penduduk tempatan tetapi dilantik bagi memenuhi kapasiti parti politik.