http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

Kini saya dalam perjalanan ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah . Bertalu – talu sms menerjah ke ruangan inbox handphone saya . Rekod ! ya rekod ! hampir 100 sms dalam tempoh sejam. Tidak kurang yang terus melemparkan maki hamun dan tidak kurang pula yang menuduh saya menipu .



Seawalnya saya telah membantah perjalanan aktiviti PROTES 678. Saya diserang oleh rakan – rakan yang menasabkan mereka dari golongan underground. Saya diam membisu sambil mengamati cara mereka berfikir dan cuba menghayati apa rasa dan kemahuan mereka .

Saya sengaja mendiamkan diri dan mengambil sikap tunggu dan lihat hingga ke hari atau tarikh perlaksanaannya.

Pun begitu , saya dan rakan – rakan exco bertindak dan cuba memahami mereka . Ekoran dari itulah Jawatan Kuasa Bertindak Pemuda PAS Pusat berbincang bagaimana menangani PROTES 678 ini dengan mengambil pelbagai sudut pandangan dan kemungkinan.

Pemuda PAS akhirnya bertolak ansur dengan menerima beberapa aktiviti seperti puisi , tarian naga , gendang India , gendang China , dikir barat , pentomen dan satu dua lagu yang berunsur protes tetapi dipersembahkan dalam suasana yang tidak menyinggung perasaan insan yang mukmin .

Wakil Dewan Pemuda PAS ke Mesyuarat Jawatan Kuasa Protes Akhi Kamaruzzaman telah menegaskan perkara berikut dan mendapat persetujuan dari pihak penganjur protes. Ada jaminan bahawa persembahan tidak sampai melanggar etika seorang yang berakhlak dan bermoral .

Bertolak dari keadaan sedemikian , saya boleh menerima dan bertolak ansur walaupun hati saya sangat berat malah tidak bersetuju . Saya sedia korbankan perasaan ini demi menghormati kehendak semua dengan saya merendahkan tahap peratus wajib lulus guna memberi laluan kepada protes.

Saya mengeluarkan kenyataan : PROTES 678 Memerlukan Komitmen Semua . Saya lepaskan kenyataan itu dengan berat hati yang teramat sangat kerana masih menghormati keputusan pimpinan.

Saya jangka , tindakan saya meletakkan keadaan win – win antara pemuda PAS dengan pelbagai pihak yang lain . Lagipun , isu besarnya bukan terletak pada nyanyian itu haram atau halal ? sehingga saya yang tidak bersetuju ini dianggap jumud .

Isu yang saya cuba bawa ialah bagaimana Demontrasi Protes dengan objektifnya untuk mobilisasi kemarahan rakyat , berbekalkan penderitaan dan kesengsaraan mereka diterjemahkan dalam satu bantahan yang serius dan bersungguh.

Tentu sahaja Demontrasi itu pula bermaksud menunjuk perasaan mereka yang sekian lama sebak dan senak di dada kepada masyarakat umum dan kalau boleh biarlah dunia tahu melalui liputan dan sambutan yang diberi .

Namun apa yang malang , musnah dan hilang segala objektif ! malah menghakis prinsip dan matlamat sebuah demontrasi atau bantahan kenaikan harga minyak ! apabila demo bertukar menjadi konsert atau demo bertukar menjadi karnival . Bahkan ada sms yang saya terima mengatakan bahawa ini bukan demo ! tapi ini Jom Heboh !

Apa yang paling aneh apabila demontrasi dibuat dalam stadium yang tertutup sekelilingnya dan sukar pula mencari lokasinya . Lebih ajaib apabila kita kata nak kumpulkan sejuta rakyat tetapi kita memilih untuk berhimpun ditempat tertutup dengan keluasannya hanya untuk muatan sekitar 50 ribu pengunjung .

Apabila Protes 678 memulakan aktivitinya pada hari ini , nyata apa yang saya bimbangi kini menjadi kenyataan .

Inilah yang saya bantah sejak dari awal . Bukan kerana saya memusuhi rakan – rakan dari kumpulan underground dan bukan pula kerana saya anti hiburan . Tetapi , selain daripada isu kesesuaian majlis, saya telah bagaikan boleh membaca apa yang kemungkinan bakal berlaku dalam program protes kali ini berasaskan bagaimana ia disusun dan bagaimana ia diatur serta bagaimana ia dikendalikan .

Ramai ummat Islam yang hadhir seperti memulaukan majlis dengan beredar meninggalkan majlis apabila persembahan memberi aksi “londeh seluar” . Mungkin kerana terlalu marah kerana minyak naik maka mereka mepaparkan aksi demikian sebagai protes . Wallahualam . Pastinya ia bukan satu tindakan yang beradab dan sesuai .

Ramailah yang pulang hampa dan marah . Manakan tidak , setelah mereka taruhkan wang ribuan ringgit untuk membiayai kos pengangkutan mereka , masa dan tenaga mereka juga turut dibazirkan dengan program yang terlalu jauh dengan objektifnya yang asal .

Saya antara tempat mereka melepaskan rasa marah mereka dan saya hanya akur . Saya mohon maaf kepada semua pihak mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat kepada semua di atas apa yang berlaku . Sungguh ia memalukan .

Sahabat ! bermula dari luka tidak berdarah ini , setelah masing masing pulang ke negeri , Ayoh kita bangkit dengan mengadakan Solat Hajat Perdana di padang luas dengan mengumpulkan sekurang – kurangnya 5000 orang dengan dipimpin oleh Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri dan kemudiannya berakhir dengan Pidato Perjuangan

Manafaatkan waktu sepanjang Bulan Rejab ini sebelum kita bermuktamar di Perak nanti . Harap DPP Negeri dapat melaksanakan tindakan segera dan penting ke arah menjayakan Ijtima’ Ruuhiyyah.