Ruhanie Ahmad

Kehadiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di persada kekuasaan negara mulai 31 Oktober 2003, amat dialu-alukan oleh rakyat Malaysia. Imej Abdullah yang bersih, warak dan mesra sungguh menawan hati nurani mereka. Tekad Abdullah membanteras rasuah secara habis-habisan menambat minat semua pihak. Cita-cita Abdullah menjadikan negara-bangsa Malaysia cemerlang, gemilang, terbilang disokong sepenuhnya oleh pihak kawan dan lawan. Rekod kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencatatkan lonjakan paradigma dalam hampir semua aspek kehidupan rakyat dan kemajuan negara pula menjadi asas paling kukuh untuk membolehkan Abdullah mencartakan kejayaan demi kejayaan di hari muka. Lantaran itulah BN dalam fasa awal kepimpinan Abdullah mampu merangkul kejayaan paling bersejarah menerusi PRU 11 pada 20 April 2004. Tetapi, hanya kira-kira dua tahun sesudah itu, kepimpinan Abdullah seolah-olah mula menjanjikan satu era yang malang dalam sejarah BN, UMNO dan negara. Antara puncanya adalah imej Abdullah yang mulai luntur. Hakikat ini jadi semakin ketara bila isu ECM Libra yang membabitkan menantunya, Khairy Jamaluddin, mulai diperkatakan secara meluas oleh rakyat jelata di seluruh tanahair.

Reality Check

Lain-lain faktor yang menyebabkan Abdullah tidak lagi diyakini oleh rakyat jelata boleh dipastikan menerusi reality check ke atas Abdullah dan kepimpinannya seperti berikut: Sewaktu mula berkuasa, Abdullah menyanjung tinggi jasa dan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Hari bagaimana? Adakah rakyat masih percayakan kata-kata Abdullah bahawa beliau tidak mahu mencari “harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya” atau “wang berjuta-juta untuk hidup bergaya”? Sewaktu mula berkuasa, Abdullah memperkenalkan apa yang beliau katakan sebagai Islam Hadhari. Insafkah Abdullah bahawa termonologi ini kini sudah jadi bahan jenaka dan amat mengecewakan sebilangan umat Islam? Pada ketika ini, benar-benarkah Abdullah mahu mencari “mana dia Al-Ghazali” dan “mana dia Al-Shafie”? Benar-benar jugakah Abdullah mahu “bongkar rahsia kitab suci, cari pedoman dan bongkar rahsia sunnah Nabi, cari panduan”? Sewaktu mula berkuasa, Abdullah mengatakan beliau tidak mahu dikelilingi oleh manusia pembodek. Hari ini bagaimana? Abdullah juga mahukan para pegawai peribadinya bersikap mesra rakyat. Hari ini bagaimana?

Dolak-dalik

Benarkah Abdullah tidak berdolak-dalik? Jambatan Bengkok? Kenaikan harga minyak? Kontroversi “wanita ketuk-ketampi”? Kisah cintanya yang dinafikan tapi kini jadi realiti? Abdullah ghairah mahu membanteras rasuah, kronisme dan neopotisme. Ini dimanifestasikan dalam manifesto BN bagi PRU11. Kini bagaimana? Kisah ECM Libra bagaimana? Mengapakah manifesto PRU12 tidak sebut langsung soal anti-rasuah? MV Agusta dibeli oleh Proton dengan harga RM500 kenapa dijual dengan harga RM4.00? Sampai sekarang kenapa tidak ada jawapan yang telus mengenai hal ini? Pada tahun 2007, Abdullah mengumumkan perangkaan ekonomi negara yang trillion ringgit jumlahnya untuk menggambarkan kepimpinan beliau lebih baik daripada Mahathir. Kenapa kesannya tidak dirasai oleh rakyat bahawan? Abdullah amat marah dengan pemimpin Hindraf yang menuduh UMNO melakukan mini-genocide ke atas kaum India dan kerana mereka mendesak komuniti antarabangsa memansuhkan Perlembagaan Persekutuan yang kononnya tidak adil kepada semua pihak? Kenapa pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA tidak disiasat serapi-rapinya? Hanya beberapa hari menjelang hari pembuangan undi bagi PRU12, Abdullah mendabik dada bahawa BN akan menang besar? Hari ini bagaimana? Bukankah keputusan PRU12 merupakan mesej daripada rakyat jelata bahawa beliau wajar mengundurkan diri daripada persada kekuasaan kerajaan dan politik?

Post-mortem

BN dan UMNO kalah teruk dalam PRU12. Mengapakah Abdullah enggan adakan satu post-mortem menyeluruh mengenai kekalahan ini? Mengapakah tuduh warga UMNO mensabotaj parti dalam PRU12? Apa bukti nyata mengenai hal ini jika tiada post-mortem mengenainya? Salahkah bila Mahathir mengatakan bahawa beliau keluar meninggalkan UMNO mulai 19 Mei 2008, kerana UMNO kini hanya mempertahankan Abdullah dan bukannya berjuang demi agama, bangsa dan tanahair? Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan melakukan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Bila? Dan, mengapakah beliau akan terus mengekalkan jawatan Presiden UMNO? Sewaktu jadi Timbalan Perdana Menteri, Abdullah membidas Singapura kerana mempolitikkan isu air dengan Malaysia. Hari ini kenapa tangguhkan semua isu tertunggak dengan Singapura, termasuk perundingan mengenai tariff air yang baru? Malaysia enggan jual pasir kepada Singapura untuk jadikan pulau itu dua kali lebih besar daripada saiznya hari ini. Kenapa Abdullah wujudkan Iskandar Malaysia yang dua kali saiz Singapura kononnya untuk kepentingan rakyat Malaysia? Kenapa hapuskan semangat DEB untuk Bumiputera menyertai aktiviti ekonomi dan pembangunan di Iskandar Malaysia?

Halliburton

Halliburton sebuah syarikat minyak yang membabitkan diri dalam perang di Iraq dan segolongan pekerjanya didakwa terbabit membunuh rakyat Iraq. Kenapakah izinkan syarikat ini melabur di Iskandar Malaysia? Telekomunikasi adalah industri strategik sesebuah negara. Kenapa izinkan syarikat Singapura melabur dalam Telekom Malaysia? Di era Mahathir, kapal perang Amerika Syarikat yang membawa senjata nuklear tidak boleh lalu Selat Melaka. Hari ini kenapa boleh dan mengapa kapal itu juga diizinkan berlabuh di Pelabuhan Kelang? Menteri Luar mengatakan bahawa team Pulau Batu Puteh sudah membuat persediaan sejak berpuluh tahun lamanya. Bila Malaysia kehilangan kedaulatan Pulau Batu Puteh, kenapa tidak adakah siasatan terperinci di atas kekalahan yang jelas berasaskan keputusan political?

Regime Change

Berasaskan reality check di atas, salahkah jika rakyat jelata mempunyai persepsi negatif terhadap Abdullah pada hari ini? Salahkah jika rakyat jelata mengatakan Abdullah seolah-olah dalam keadaan out-of-control dan dibelenggu sindrom penafian yang panjang. Rakyat jelata semakin resah gelisah kerana Abdullah terus memimpin negara. Kestabilan politik tanahair pula nampaknya sedang menuju ke suatu arah yang mungkin parah dan mendebarkan. Dalam situasi begini, wajarkah Abdullah menuduh bloggers sebagai antara faktor yang menyebabkan politik negara tidak stabil? Sebaliknya, bukankah faktor utama yang menyebabkan politik negara tidak stabil mutakhir ini adalah keengganan Abdullah menerima hakikat dan realiti bahawa kepimpinan beliau sudah tidak lagi diyakini oleh majoriti rakyat jelata Malaysia? Sedarkah Abdullah bahawa menurut satu poll yang dilakukan oleh lamanweb Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bar-baru ini, seramai 88 peratus responden mahukan pucuk kepimpinan negara ditukar atau negara ini memerlukan regime change? Demikianlah realiti check mengenai Abdullah. Moga-moga beliau insaf akan hakikat ini. Demi agama, bangsa dan tanahair, segeralah berundur daripada persada kepimpinan kerajaan dan parti secara terhormat. Serahkanlah tampok kepimpinan negara dan parti kepada Najib. Insya Allah, politik negara kembali stabil, ekonomi akan berkembang, rakyat jelata tidak lagi resah gelisah malahan akan dibela dengan sewajarnya.