Oleh malay_boy

” Berita dalam MStar Online hari ini melaporkan: Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa beliau dikasari pembantu khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga merupakan wakil parti itu semalam. Beliau membuat laporan polis ditumbuk di bahagian mata kanan ketika majlis pecah tanah di Desa Mentari, Petaling Jaya pukul 3 petang semalam. Loh, individu yang merakamkan perbualan peguam V.K. Lingam berkaitan aturan pelantikan hakim sehingga mencetuskan kontroversi tahun lalu, menemui pihak penganjur majlis tersebut selepas sekumpulan penduduk tempatan membantah tindakan mendirikan bangunan di kawasan itu. Katanya, beliau ke tempat kejadian selepas menerima maklumat ada bantahan. Isu berkenaan yang timbul sejak dua minggu lalu seharusnya diselesaikan kelmarin, kata beliau. Kata Loh, apabila beberapa kali bertanya siapa yang bertanggungjawab terhadap projek berkenaan, pembantu Nik Nazmi menyerangnya. Kata Loh, beliau diserang apabila menyebut “sebagai pembantu khas seharusnya mengetahui siapa pemaju projek.” Walaupun pembantu khas itu telah meminta maaf, jelas Loh, beliau terpaksa membuat laporan polis. Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu sambil berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut. Saya yang berada di tempat kejadian sungguh kecewa dengan insiden yang berlaku. Dan saya merasakan kejadian itu sepatutunya dapat dielakkan kiranya pihak polis segera mengawal keadaan dan keduanya jika ahli parlimen berkenaan tidak menyemarakkan lagi suasana. Majlis yang berlangsung kira-kira jam 3 petang sejurus selepas solat Jumaat di Desa Mentari dalam DUN Seri Setia, Parlimen Kelana Jaya (kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya) itu adalah sebuah majlis rasmi kerajaan negeri. Majlisnya adalah majlis pecah tanah tapak surau Desa Mentari Fasa II oleh YB Tuan Khasim Abd Aziz, Pembantu EXCO Agama, Adat Istiadat Melayu, Infrastrukutur dan Kemudahan Awam (mewakili Dato Dr Hasan Ali yang tidak dapat hadir kerana menjalankan tugas rasmi di Singapura). Ia turut dihadiri oleh ahli Majlis MBPJ dan pimpinan parti tempatan. Semua pihak telah dilibatkan dalam majlis ini termasuklah selain Pejabat EXCO, JAIS, MBPJ, Pejabat ADUN Seri Setia, Polis, Jawatankuasa Surau, Pakatan Rakyat Kelana Jaya dan PAS Kawasan serta cawangan. Diperingkat Pakatan Rakyat Kelana Jaya, semasa mesyuarat bulanannya Jun lepas yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagian PKR Tuan Syed Shahir, pihak PAS telah pun memaklumkan darihal majlis ini dan dipersetujui oleh semua pihak termasuk wakil DAP (YB Hannah Yeoh), malangnya dalam mesyuarat itu YB Loh tidak hadir dan tidak pula menghantar wakilnya. Ekoran persepakatan itu pihak penduduk di kawasan berkenaan termasuklah AJK Surau dan JK Penaja PAS cawangan telah bertungkus-lumus bekerja dan membuat persiapan bagi majlis berkenaan. Untuk rekod tapak berkenaan telah diluluskan oleh pemaju dalam pelan pembangunan kawasan perumahan Desa Mentari itu sebagai tapak surau. Penduduk tempatan telah sejak dua tahun kebelakangan memohon kelulusan dari pihak JAIS dan selepas PRU lepas YB ADUN Seri Setia Sdr Nik Nazmi telah memberikan sokongannya dan akhirnya pihak JAIS telah memberikan kelulusan melalui Pejabat EXCO Agama. Penduduk tempatan telah mengikuti saluran yang betul, kisah bantahan dari masyarakat bukan Melayu di kawasan itu hanya terdengar sejak kebelakangan ini sahaja itupun bukan melalui saluran rasmi. Saya difahamkan sekumpulan masyarakt India beragama Hindu telah mengadu kepada Pejabat Ahli Parlimen, yang tanpa merujuk kepada pimpinan Pakatan Rakyat Bahagian dan pimpinan PKR (parti beliau sendiri) Bahagian, telah cuba menjadi juara kepada segelintir yang tidak berpuas hati itu. Pintu rundingan tidak pernah ditutup oleh sesiapa pun, cumanya bagi masyarakat Islam di sana setelah isu ini dibawa melalui pelbagai saluran dan akhirnya dibincang diperingkat parti pemerintah bahagian, iaitu Pakatan Rakyat Parlimen Kelana Jaya (yang diwakili pimpinan tertinggi PAS, PKR dan DAP peringkat tersebut) dan mendapat “consensus” atau kata sepakat maka ianya diteruskan. Jika pun ada kiranya Pejabat ahli Parlimen kemudiannya menerima bantahan, ianya sepatutnya dirundingkan. Takkanlah ahli parlimen yang bijak membelakangkan keputusan parti dan pakatan yang dianggotai partinya sendiri serta kerajaan negeri juga yang diterajui bersama partinya sendiri. Sekurang-kurangnya jika benar masyarakat yang membantah itu mewakili majoriti penduduk tempatan, kerja ahli parlimen adalah menerangkan kepada mereka tentang keputusan yang telah diambil, dan meyakinkan mereka agar menerimanya, sebarang tuntutan lain boleh dirundingkan, tetapi protes untuk membatalkan pembinaan surau yang diperjuangkan penduduk majoriti Islam dan diluluskan pula oleh pihak JAIS adalah sesuatu yang tidak harmonis dan boleh mencetuskan perbalahan. Pada hari kejadian sejurus majlis dimulakan sekumpulan masyarakat India beragama Hindu telah pun berkumpul dengan poster masing-masing. Dari bilangan sekitar 20-25 orang ia mula membesar apabila kawan-kawan mereka dari luar turut hadir tetapi tidaklah sampai melebihi 100 orang. Mereka mula menjerit-jeirt kan slogan dan ada yang meniup wisel dan membuat bising sebaik majlis yang dimulakan dengan bacaan doa itu berjalan. Saya marahkan juga pihak polis kerana mereka seolah berlepas tangan walaupun hadir dengan beberapa kereta peronda dan kekuatan dari balai berdekatan. Ini adalah majlis berkaitan agama dan merupakan pula majlis rasmi kerajaan kerana dihadiri oleh Penolong EXCO. Tidakkah kehadiran penganut agama lain dengan niat untuk menganggu majlis itu mengancam keselamatan? Pernahkan kita dengar sebelum ini sebuah majlis agama diganggu oleh penganut agama lain sedemikian rupa dalam negara kita? Saya katakan pihak polis lemah dan harus dipertanggungjawabkan. Mereka tidak bertindak sepanjang majlis rasmi berkenaan berjalan, bayangkan apa akan berlaku jika ada pihak yang membikin provokasi dikalangan penduduk Islam yang hadir!?! Alhmadulillah majlis berkenaan walaupun diganggu dengan sorakkan dan bunyi bising berlangsung dengan penuh tertib dan aman. Semasa majlis berjalan wakil ADUN Seri Setia, Sdr Meor Azam telah duduk sebaris dengan saya mewakili YB Nik Nazmi. Tiba-tiba YB Loh datang dan terus menuju ke arah mereka yang sedang berhimpun secara haram itu. Kehadiran beliau menggamatkan mereka yang sedang berhimpun itu. Ketika itulah Sdr Meor memaklumkan kepada saya yang beliau mahu melihat keadaan dan cuba mententeramkannya. Majlis terus berjalan walaupun kelihatan dari jauh YB Loh beria-ia melayan mereka yang sedang bising berhimpun itu. Sejurus majlis berakhir mereka yang hadir dijamu oleh pihak penganjur manakala para tetamu menuju ke surau lama untuk menikmati jamuan. Ketika itulah kami dimaklumkan yang berlaku pertengkaran antara Sdr Meor dan YB Loh dan akhirnya berlakulah apa yang berlaku. Kesimpulannya bagi saya ahli Parlimen berkenaan cuba menjadi “hero” dalam siatuasi yang beliau sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Ternyatalah usia yang muda dan tiada pengalaman dan pendedahan politik melahirkan seorang pemimpin yang buta haluan! Insiden ini sungguh malang dan akan mengundang pelbagai persepsi dari masyarakat awam termasuklah yang Islam atau bukan Islam. YB Loh telah dengan sengaja membuka pintu kebencian, keresahan dan syak wasangka rakyat. Sekarang “He should be man enough to stand up and shut the door” ataupun menerima padah dan hukuman dari rakyat.”