(Ini merupakan artikel terbaru saya untuk ruangan “Menongkah Arus” di Harakahdaily)

Selepas mempengerusikan mesyuarat tertinggi PAS Khamis lepas, Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah mengisytiharkan antara lain bahawa PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak demi kepentingan negara dan ummah.

Sebagai sebuah parti Islam (antara parti tertua dalam negara selepas Umno), yang telah diasaskan untuk memperjuangkan agenda Islam di tanahair ini, agaknya apakah kepentingan negara dan ummah yang belum selesai yang masih mahu PAS bincangkan dengan sesiapa sahaja yang berkepentingan?

Kata Tuan Guru sebutlah apa istilah sekalipun, muzakarah, muqabalah, yang pentingnya PAS akan terus merintis jalan perbincangan dengan semua pihak. Apakah lagi yang mau PAS bincangkan itu?

Menolak tepi apa sahaja sentimen, lebih-lebih lagi spekulasi jahat dan agenda peribadi puak-puak tertentu, semua pihak sedar bahawa PAS dalam senyap mahupun zahir tidak akan sekali-kali menyampingkan apalagi menggugurkan dasar perjuangan Islamnya ke arah perlaksanaan Islam sebagai satu sistem hidup bermasyarakat dan bernegara. PAS telah lama berjuang mempertanhankan prinsip ini malah sampai keperingkat Majlis Raja-raja Melayu, yang pernah memutuskan yang PAS boleh terus dengan gerakan politik Islamnya.

PAS berjuang digelanggang politik di Malaysia sejak sebelum Merdeka lagi. Malaysia bukan Turki yang mungkin sesuai dengan politik AKP atau Indonesia yang mungkin padan dengan politik PKS hatta Palestin yang mungkin cocok dengan politik HAMAS. Lanskap politik Malaysia unik serta berbeza dan diukir oleh rakyatnya sendiri sejak lebih 50 tahun lalu. Demikianlah juga politik PAS.

Ternyata prinsip Islam yang PAS pegang, tidak pernah dikompromi samada semasa PAS memerintah mutlak dua negeri di Kelantan dan Terengganu (1959 kerajaan campuran) pada tahun 1959 dan 1999 ataupun semasa PAS tinggal 1 kerusi Parlimen dan 2 DUN di Kelantan. Prinsip Islamlah yang telah menarik ramai menganggotai PAS dari tahun ke tahun malah sehingga sanggup hidup dan mati berjuang untuk Islam melalui PAS.

Prinsip Islam ini semakin diperteguhkan lebih dua dekad lalu apabila PAS bersetuju bernaung di bawah konsep “Kepimpinan Ulamak” yang merupakan kelongsong yang mengikat PAS untuk terus bergerak di atas “orbit Islam”, tanpa ada kemungkinan untuk tersasar atau sesat. Malah komitmen dan iltizam ke arah itu dapat dilihat kemudiannya dengan pindaan terhadap Perlembagaan parti itu dengan mewujudkan badan tertinggi iaitu “Majlis Syura Ulamak” yang akan memastikan halatuju parti sentiasa tegas dan tetap atas agenda Islam.

PAS yang ada pada hari ini adalah rentetan dari pengukuhan ini dan “Kepimpinan Ulamak” lah tunjang yang telah mencairkan hati sanubari umat Islam dan malah masyarakat Malaysia sehingga memungkinkan PAS berada di tempatnya pada hari ini. Berbeza dengan kelompok dan parti lain, PAS dibina atas kekuatan rohani dan jasmani ahli dan pimpinannya. Kekuatan dalaman di bawah bimbingan, amalan dan doa tidak putus-putus para ulamak yang gigih dan konsisten inilah yang telah meletakkan PAS pada posisinya hari ini.

Lalu berbalik kepada persoalan di atas, sudah pastilah PAS mahu membincangkan bagaimana Islam dapat berperanan dalam masyarakat dan negara. Bagaimana institusi-institusi Islam dapat dibela dan diberi nafas untuk berperanan dalam masyarakat. Ianya perlu dizahirkan, dan hanya melalui perbincangan dan komitmen PAS yang kebetulan hari ini dikurniakan Allah swt dengan sedikit kuasa politik, barulah PAS dapat berpuas hati kerana memain peranan.

Saya masih ingat semasa PAS punya 1 kerusi di Dewan Rakyat, ketika negara pada saat itu membincangkan soal pindaan perlembagaan bagi mengawal kuasa Raja-raja Melayu (di zaman Tun Dr Mahathir/Musa), saya masih ingat Tuan Guru Nik Abd Aziz bangkit berhujah di Dewan Rakyat dengan hujah Islam berlandasakn nas al Quran dan Sunnah. Tidak silap saya Pak Subky Latif ketika itu ada menerbitkan buku kecil berkenaan pendirian PAS itu.

Takkanlah sekarang PAS dengan berpuluh jumlah kerusi di Parlimen, MB di 3 buah negeri dan memiliki wakil di hampir kesemua dewan negeri-negeri kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak (jumlah ADUN-ADUN PAS adalah teramai dikalangan parti-parti pembangkang), tiba-tiba suara Islam semakin kecil dan kita seolah terpaksa berhati-hati mahu menonjolkannya.

Kerana itu PAS melihat perbincangan ini penting, tak kira dengan siapa asalakan ia nanti mampu membuahkan hasil yang menguntungkan Islam,umatnya dan negara.

Kita mahu berbincang tentang perlaksanaan Islam khasnya dikalangan masyarakat Meayu dan penganut Islam (sekurang-kurangnya), kita mahu melihat tahanan ISA dibebaskan dan ISA itu sendiri dikaji semula, kita mahukan badan kehakiman yang adil berteraskan keadilan Islam, kita mahu segala gejala rasuah dan salah-guna kausa yang diharamkan oleh Islam dibenteras dan dihapuskan, kita mahu bantuan per kapita kepada sekolah-sekolah agama bukan sekadar dikembalikan malah diperingkatkan lagi, kita mahu institusi masjid dan surau semakin diberi otoriti untuk berperanan dalam masyarakat, kita mahu isu murtad ditangani menurut Islam, kita mahu sekolah-sekolah pondok dan semua institusi pengajian Islam sampai ke Universiti Islam ditambah di perkasa dan dipertingkatkan pasarana dan kemudahannya, kita mahu segala bentuk maksiat (judi, arak dan lain-lain) dikawal dan dibendung, kita mahu saudara-saudara baru Islam dibela dan diberi bantuan dan bimbingan sehingga mereka nanti mampu menarik lebih ramai dari kalangan mereka untuk bersama Islam, kita mahu Islam diberi peluang diperjelaskan kepada masyarakat bukan Islam sehingga ia tidak lagi dibimbangi atau dicurigai, kita mahu institusi Raja-raja Melayu yang dipertanggungjawab mengawal Islam semakin kemas dipertahankan dan sudah pasti senarai ini berjela-jela lagi sehinggalah PAS berpuas hati matlamat perjuangannya mampu tercapai.

Kerana itu PAS sebagai parti Islam perlu terus mara ke hadapan, namun dalam waktu yang sama memastikan yang pegangan Islamnya kemas terikat dan tidak tercicir dalam meniti langkah-langkah seterusnya itu. Insyallah bersama melangkah di bawah “Kepimpinan Ulamak”.

Roslan SMS corner