Berasaskan maklumat terbaru yang dikirimkan kepada blog ini malam ini, jumlah cawangan UMNO di seluruh negara yang berani meluluskan usul mendesak bahagian masing-masing supaya menyanggah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi – sama ada supaya proses peralihan kuasa dipercepatkan atau Abdullah tidak lagi dicalonkan semula sebagai Presiden UMNO Malaysia – kini meningkat kepada 88.

Hari ini juga Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Perdana, dalam Bahagian Puchong dan Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Seksyen 12, dalam Bahagian Shah Alam, kedua-duanya di Selangor, telah meluluskan usul mendesak bahagian masing-masing membawa usul supaya proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan dengan seberapa segera.

Jika usul oleh kedua-dua pergerakan ini diambilkira, jumlah keseluruhan cawangan akar umbi yang menyanggah kepimpinan Abdullah adalah 90.

Menurut satu e-mail, UMNO Cawangan Jalan Khamis, dalam Bahagian Kapar, Selangor, yang bersidang pada malam 2 Ogos 2008, telah meluluskan usul mendesak bahagiannya mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan Presiden UMNO.

Blogger Zeme yang sering mengirimkan info terkini mengenai persidangan cawangan di seluruh negara pula menyatakan bahawa limabelas cawangan UMNO dalam Bahagian Tumpat, Kelantan – satu daripadanya Cawangan Padang Pohon Tanjung – telah sebulat suara meluluskan usul mencadangkan kepada bahagiannya supaya Tengku Razaleigh Hamzah dicalonkan ke jawatan Presiden UMNO.

Tumpat

Zeme juga memberitahu blog ini bahawa UMNO Cawangan Jitra, Bahagian Kubang Pasu, Kedah, meluluskan satu usul yang menarik, iaitu meminta Bahagian Kubang Pasu mencalonkan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Blogger Kedah Youngster pula melaporkan bahawa UMNO Cawangan Sri Pantai, Bahagian Kuala Kedah, Kedah, yang bersidang hari ini telah meluluskan usul dengan sebulat suara mendesak Abdullah meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO sebelum pemilihan parti Disember 2008 ini.

Pemuda UMNO Cawangan Jalan Perdana, bahagian Puchong, Selangor, dalam persidangannya pada 2 Ogos 2008, mengususlkan bahagian itu menggunakan Fasal 14.5.3 bagi mengemukakan usul ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO 2008, meminta tempoh agar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dilakukan mulai 1 Januari 2009.

Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Seksyen 12, Shah Alam, dalam Bahagian Shah Alam pula membawa usul supaya UMNO Shah Alam mendesak proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib disegerakan mulai Disember 2008. Pergerakan itu juga mengusulkan supaya UMNO Bahagian Shah Alam mencalonkan Najib sebagai Presiden UMNO dan Mahyuddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Sementara itu, Persidangan UMNO Cawangan Telok Mengkuang, dalam Bahagian Kuala Langat, Selangor, telah membuat satu usul tergempar mendesak agar peralihan kuasa Abdullah epada Najib dipercepatkan kepada 1 Disember 2008.

Rasional

Saya telah membaca seluruh usul oleh Pemuda UMNO Jalan Perdana, Bahagian Puchong, dan Wanita UMNO Sekyen 12, Bahagian Alam. Kedua-dua usul mereka dihujah secara rasional dan intelektuil demi agama, bangsa dan tanahair.
Contohnya, antara rasional untuk menyokong usul Pemuda UMNO Jalan Perdana adalah seperti berikut:

Satu: pentadbiran negara kini telah dipengaruhi oleh mereka yang berkepentingan peribadi (sehingga) menyebabkan banyak keputusan yang dibuat gagal mengambilkira kepentingan umum serta ahli UMNO.

Dua: Kelemahan kepimpinan UMNO kini memberikan persepsi kepada ahli UMNO bahawa negara ini seolah-olah dikuasai oleh negara asing, seperti Singapura serta kroninya, Israel.

Tiga: Kekalahan teruk UMNO dalam pilihan raya umum 2008 adalah disebabkan wujudnya kelemahan dalam pentadbiran yang diterajui oleh Abdullah.

Wanita UMNO Cawangan Seksyen 12, Shah Alam, pula merasional usul mereka seperti berikut:

Satu: PRU 12 adalah paparan jelas kehendak rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dan tanda-tanda kebangkitan rakyat menolak kepimpinan Abdullah. Rakyat yang menyambut cabaran Abdullah telah membuktikan melalui peti undi, bahawa mereka mahukan perubahan dan usaha yang lebih komited untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial dalam negara.

Lemah

Dua: Pertama kali dalam sejarah Malaysia merdeka, UMNO dan kerajaan Barisan Nasional menjadi begitu lemah. Malangnya, sehingga kini tidak ada usaha-usaha yang menyerlah, menyeluruh dan benar-benar ikhlas untuk mengembalikan kekuatan dan kegemilangan UMNO dan BN.

Tiga: Abdullah sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia dilihat sebagai seorang yang lemah, tidak berkemampuan, mengamalkan kronisme dan nepotisme. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Melayu secara umum dan menyebabkan huru-hara dalam negara. Untuk memastikan kesinambungan kepimpinan Melayu dan UMNO terus perkasa dan agar kestabilan berkekalan, kepimpinan perlu ditukar dan diperbaiki supaya orang Melayu kembali dihormati oleh semua peringkat kaum dalam negara dan seluruh dunia.

Empat: Kelemahan pentadbiran dan pucuk pimpinan negara telah menjejaskan nama baik Malaysia di mata dunia. Malaysia kini tidak lagi dianggap sebagai salah satu ‘Tiger Asia’ tetapi semakin berundur ke belakang menjadi negara dunia ketiga. Malaysia kini tunduk dengan kemahuan kuasa asing. Malaysia kini takut untuk bersuara kerana suara kita adalah ‘suara yang sumbang’ dan lemah. Abdullah telah diberi peluang selama 4 tahun untuk membuktikan kewibawaan beliau sebagai pemimpin dan mentadbir negara berdaulat ini. Malangnya beliau gagal dan akibatnya rakyat menjadi mangsa. Sekiranya 4 tahun masih gagal, bagaimana beliau boleh meyakinkan rakyat bahawa beliau mampu untuk melaksanakan tugas memperbaiki kepincangan negara untuk 2 tahun lagi?

Demikianlah suara Pemuda dan Wanita UMNO daripada Selangor. Bagaimanapun, anggota Wanita UMNO Cawangan Seksyen 12, Shah Alam, yang mengirimkan e-mail ke blog ini mengenai maklumat di atas mengeluh seperti berikut:

Polis

“Kami yang menolak Abdullah dan membawa usul Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden seolah-olah menjadi musuh dan pembangkang dalam UMNO. Kami diarah buat laporan oleh SB. Alangkah susahnya hidup di negara sendiri. Solah-olah kini Malaysia diperintah oleh diktator kuku besi!”

Saya telah meminta penjelasan mengenai penglibatan SB seperti di atas, dan inilah jawapannya:

“Saya tak pasti sama ada ini adalah lazim (bagi) setiap mesyuarat tahunan. Namun, selama 2 penggal saya di cawangan belum pernah kena buat laporan dan isi borang yang diberi oleh SB kepada saya selepas setiap mesyuarat agung. Semalam, selepas mesyuarat Wanita, saya diarah isi borang dan buat laporan termasuklah memasukkan usul yang dikemukakan. Ini atas arahan SB.”

Sekali lagi kita terdengar mengenai polis atau SB membabitkan diri dalam persidangan cawangan UMNO. Saya harap ini tidak benar. Tetapi, jika ini benar, harap insafilah bahawa warga UMNO akar umbi adalah bersuara secara demokratik dan selaras dengan Perlembagaan UMNO. Jika tindakan seperti ini pun mahu diganggu-gugat, terserahlah kepada warga UMNO untuk bertindak dengan sewajar-wajarnya demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair.

Selamat berjuang dan salam takzim. – Ruhanie Ahmad